Sejarah Sekolah
- Details
- Published on Monday, 12 May 2014 23:25
- Written by Administrator
- Hits: 5731
Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut sudah berusia sedekad pada tahun 2012. Sepanjang 10 tahun beroperasi, SMK Segambut telah menempa pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum walaupun sekolah ini berskala sederhana iaitu bilangan pelajar yang mendaftar kurang dari 700 setiap tahun, namun kejayaan tetap berjaya diperolehi dan menjadi kebanggaan warga SMKS.
Sejarah penubuhan SMKS bermula pada tahun 2002 dan Puan Hajah Che Sepora telah mendaftar diri sebagai pemangku pengetua SMK Segambut pada 1 November 2002. Manakala pendaftaran pelajar baru untuk sekolah ini telah dilakukan pada pertengahan November 2002. SMKS telah menerima secara beransur – ansur kelengkapan sekolah seperti perabot, kelengkapan kelas, peralatan makmal dan bengkel serta kelengkapan pejabat daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai penghujung November 2002.
Pada 6 Januari 2003, Sekolah Menengah Kebangsaan Segambut telah dibuka secara rasmi dengan beberapa orang guru perintis sekolah iaitu Puan Hjh Che Sepora bt Din, Puan Hjh Dianna bt Subki, Puan Gladys Francis Joseph, Puan Ang Li Li, Puan Noor Alaza bt Ariffin, Puan Hjh Zurainie bt Md Salleh Dzulkefli, Encik Badrul Hisham b Bahari dan Puan Harlina binti Abdul Rahman. Manakala pelajar perintis SMK Segambut terdiri daripada Kelas Peralihan, 8 kelas Tingkatan 1 dan 2 kelas Tingkatan 2.
Pengetua pertama sekolah yang telah dilantik untuk menerajui pentadbiran dan pengurusan sekolah ialah Tuan Haji Rosli bin Suleiman. Beliau telah melapor diri sebagai Pengetua SMKS pada 1 April 2003. Manakala Puan Hajah Sepora pula telah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran (GPK) Pentabiran. Pada penghujung tahun 2003, SMK Segambut telah mempunyai 25 orang guru dan 5 orang staf sokongan. Peperiksaan awam pertama untuk SMK Segambut ialah Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada Ogos 2004 dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November 2006. ( www.smksegambut.wordpress.com).
Pada tahun Jun 2010, SMKS telah menerima Pengetua sekolah baru iaitu Puan Asmah bt Kailani bagi menggantikan Tuan Hj Rosli yang telah berpindah ke SMK Bandar Tun Razak. Manakala barisan pengurusan dan pentadbiran sekolah juga mempunyai perubahan iaitu Cik Hjh Zahariah bt Karim sebagai Guru Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum, Puan Dianna bt Subki sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Puan Hjh Rohaini bt Ibrahim sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum. SMKS telah mencipta beberapa rekod kejayaan pada tahun 2010. Antara kejayaan yang telah digapai oleh SMKS semasa Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2010, SMKS telah berjaya merangkul 5 Anugerah Utama Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala pada Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, SMKS berjaya merangkul anugerah Kenaikan Gred Purata (GP) terbaik peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini telah menjadikan SMKS antara sekolah Gred B yang terbaik dari Zon Sentul.
Manakala pada penghujung tahun 2011, SMKS telah menerima pengetua ketiga iaitu Puan Hjh Hazipah binti Kazin bagi menggantikan Puan Asmah binti Kailani yang berpindah ke SMK Dato’ Ibrahim Yaacob. Selain itu, barisan pentadbiran juga telah menerima barisan pentadbir yang baru iaitu Penolong Kanan Tdbir dan Kurikulum, Pn Hjh Norzian bt Ramli bagi menggantikan Cik Hjh Zahariah bt Karim yang berpindah ke SMK Setapak Indah sebagai pengetua. Manakala pada bulan April 2012 pula, Pn Teoh Chui Lim telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Segambut. Sebelum ini beliau telah berkhidmat sebagai penyelia petang di SMK Raja Abdullah. Pn Teoh Chui Lim menggantikan tempat Pn Hjh Rohaini Ibrahim yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Raja Abdullah. Kerusi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga turut berubah pada bulan Jun 2012 apabila Pn Dianna Bt Subki telah bersara dan tempat beliau digantikan dengan Pn Noorlia Bt Mohamed sehingga sekarang.
Pada tahun 2012, SMK Segambut antara sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Teach For Malaysia Foundation untuk menerima tiga orang guru Teach For Malaysia sebagai tenaga pengajar disini sehingga penghujung tahun 2012. Guru – guru Teach For Malaysia ini terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan yang secara sukarela melibatkan diri dalam bidang pendidikan. Penglibatan Guru Sandaran Terlatih dari TFM ini turut memberikan demensi lain bagi SMK Segambut.
Pada tahun 2013, SMK Segambut mempunyai seramai 67 orang guru, 11 orang staf sokongan dan 711 pelajar yang terdiri daripada kelas peralihan, kelas pendidikan khas, dan kelas tingkatan 1 hingga tingkatan5.
Manakala bilangan kelas yang direkodkan pada tahun 2013 ialah seperti berikut :-
i Peralihan – 1 kelas
ii Tingkatan 1 – 6 kelas
iii Tingkatan 2 - 6 kelas
iv Tingkatan 3 – 6 kelas
v Tingkatan 4 - 4 kelas
vi Tingkatan 5 - 4 kelas
vii Pendidikan khas – 4 kelas.
SMK Segambut kini dipimpin oleh Pn. Tan Siew Choo, pengetua sekolah dan dibantu oleh Pn. Sharifah Bt Mat Deris@Mohd Ideris (GPK Tadbir dan Kurikulum), Pn Normah (GPK Hal Ehwal Murid) dan Pn Hartini bt Ramli (GPK Kokurikulum)